
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Peraturan kerja lebih anjal termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) yang sedang diteliti kerajaan bagi penjawat awam dan sektor swasta dilihat mampu memperkukuh literasi digital negara.
- BDR menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan penggunaan platform kerja, komunikasi maya dan alat digital dalam operasi harian.
- Pengalaman pandemik COVID-19 meningkatkan literasi digital penjawat awam, khususnya dalam penggunaan teknologi dan aplikasi digital.
- Penggunaan teknologi digital meluas di sektor pendidikan menyokong agenda ekonomi digital negara.
- Pelaksanaan BDR merupakan langkah taktikal untuk mengurangkan penggunaan tenaga, selari dengan saranan Agensi Tenaga Antarabangsa.
Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Zairihan Abdul Halim berkata, langkah itu menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan penggunaan platform kerja, komunikasi maya serta pelbagai alat digital dalam operasi harian.
Menurut beliau, pengalaman ketika pandemik COVID-19 sebelum ini telah meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan penjawat awam, khususnya dari segi penggunaan teknologi dan aplikasi digital.
“Dalam sektor pendidikan pula, penggunaan teknologi digital secara meluas termasuk di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mampu menyokong agenda ekonomi digital negara,” katanya ketika ditemui selepas Program Selamat Pagi Malaysia, di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan, cadangan pelaksanaan BDR merupakan langkah taktikal kerajaan bagi mengurangkan penggunaan tenaga, khususnya bahan api, dalam jangka pendek.
Katanya, langkah itu selari dengan saranan Agensi Tenaga Antarabangsa yang menggalakkan pengurangan mobiliti harian bagi menjimatkan penggunaan bahan api serta mengurangkan permintaan minyak domestik.
Malaysia dianggarkan mempunyai kira-kira 1.3 juta penjawat awam dan sekiranya 50 peratus daripada jumlah itu melaksanakan BDR, ia berpotensi menjimatkan penggunaan bahan api secara signifikan.