
KUALA LUMPUR, 7 April– Cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara lebih anjal mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pekerja sektor awam dan swasta.
- BDR boleh cipta keadaan 'dekat secara fizikal tetapi jauh secara emosi', menjejaskan hubungan keluarga jika tidak diurus.
- Tekanan kerja di rumah meningkatkan stres ibu bapa dan anak, mengurangkan masa berkualiti serta melemahkan ikatan emosi.
- Pengalaman pandemik tunjuk BDR boleh tingkatkan tekanan tanpa pengurusan masa dan emosi yang baik.
- Amalkan waktu kerja jelas, rehat berkala, sempadan kerja-hidup dan komunikasi berempati untuk elak keletihan melampau serta seimbangkan produktiviti.
Walaupun memberi fleksibiliti, pakar mengingatkan ia boleh menjejaskan kesejahteraan emosi jika tidak diurus dengan baik.
Pegawai Psikologi dan Ketua Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Hainany Idayu Yazid menjelaskan, BDR boleh mewujudkan situasi “dekat secara fizikal tetapi jauh secara emosi”.
Menurut beliau, tekanan kerja di rumah boleh menyebabkan hubungan emosi dalam keluarga semakin renggang walaupun tinggal bersama.
“Bekerja dari rumah boleh meningkatkan stres dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak.
Masa berkualiti semakin berkurang dan hubungan emosi semakin renggang,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Beliau turut menyatakan, pengalaman semasa pandemik COVID-19 membuktikan BDR boleh meningkatkan tekanan jika tidak diurus dengan baik.
Bagaimanapun, pendekatan itu tidak sepenuhnya negatif dan masih memberi kesan positif dengan pengurusan masa serta emosi yang baik.
“Kalau wifi sentiasa ‘connected’, kenapa hubungan keluarga kita biarkan ‘loading’.
Walaupun bekerja, jangan biarkan BDR menjauhkan hati kita,” kongsinya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pekerja menetapkan waktu kerja yang jelas, mengambil rehat berkala serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tanpa gangguan gajet.
Dalam masa sama, majikan dan pekerja digesa mengamalkan komunikasi berempati serta menetapkan sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi.
Langkah itu penting bagi mengelakkan keletihan melampau atau burnout.
Keseimbangan antara produktiviti dan kesejahteraan emosi menjadi kunci utama bagi memastikan BDR memberi manfaat kepada semua pihak.