
KUALA LUMPUR, 19 Mac– Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyambut baik dan menyokong penuh langkah segera yang diumumkan kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
- Diskaun tol 50% untuk kurangkan kos perjalanan pulang ke kampung, membantu ringankan beban rakyat.
- Pelepasan kebankrapan fast track kepada kira-kira 4,000 individu memberi peluang kedua dan pemulihan ekonomi.
- Pembayaran awal STR, bantuan khas penjawat, pesara dan agamawan serta kawalan harga Ramadan sebagai langkah kebajikan menyeluruh.
Pengerusi BBC, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan pendekatan tersebut sebagai satu kerangka intervensi yang tersusun dan berfokus, bukan sahaja untuk meringankan kos sara hidup, malah memastikan momentum pemulihan ekonomi rakyat terus diperkukuh.
Beliau memperincikan bahawa langkah pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus dengan implikasi kewangan mencecah RM21.03 juta merupakan intervensi signifikan bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman.
“Dalam masa yang sama, pelaksanaan pelepasan kebankrapan secara fast track kepada kira-kira 4,000 individu mencerminkan pendekatan kerajaan yang progresif dan berperikemanusiaan. Dasar ini memberikan peluang kedua kepada rakyat untuk kembali menyumbang kepada ekonomi secara produktif, sekali gus mengurangkan beban sosial jangka panjang,” katanya.
Dr. Zaliha turut menekankan bahawa langkah lain seperti bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima, bantuan khas penjawat awam, pesara dan golongan agamawan serta kawalan harga sepanjang Ramadan membuktikan Kerajaan MADANI mengangkat pendekatan menyeluruh yang merangkumi dimensi kebajikan sosial dan kestabilan pasaran.
“BBC melihat langkah ini sebagai manifestasi jelas kepada prinsip MADANI yang menekankan nilai ihsan dan berorientasikan rakyat.”
“Keseluruhan pakej itu memperlihatkan keupayaan kerajaan dalam menyelaras dasar fiskal dan sosial secara serentak, yang merupakan strategi intervensi proaktif bagi memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dengan keupayaan fiskal negara,” tambah beliau.
Dalam mendepani suasana ekonomi global yang mencabar, beliau menyeru rakyat untuk terus mengamalkan perbelanjaan berhemat serta pengurusan kewangan yang berdisiplin agar manfaat daripada pelbagai inisiatif tersebut dapat dimaksimumkan.
Beliau menegaskan bahawa BBC akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyokong dasar-dasar yang memberi manfaat nyata serta memastikan naratif tersebut difahami dengan jelas di peringkat akar umbi.