fb fb fb fb fb

Bas SUK Selangor terbabas, enam cedera parah

Foto Bomba Selangor

SHAH ALAM, 21 Ogos- Enam kakitangan Mahkamah Selangor cedera parah apabila bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang dinaiki terbabas ke dalam parit sedalam dua meter, kira-kira pada pukul 1.00 tengah hari tadi

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail dalam satu kenyataan berkata kejadian yang berlaku di Jalan Simpang Morib, Kampung Kelanang di Banting, Kuala Langat mengakibatkan kelindan bas terbabit turut mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa yang berumur antara 30 hingga 40 tahun itu dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.

Beliau berkata ketika kejadian, bas terbabit membawa 21 penumpang yang merupakan kakitangan Mahkamah Selangor.

“Baki (kakitangan mahkamah dan pemandu) daripada keseluruhan 21 individu yang menaiki bas itu hanya cedera ringan,” katanya.

Sebelum ini, Wan Md Razali berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.07 tengah hari dan 11 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Telok Panglima Garang digerakkan dan tiba ke lokasi 11 minit kemudian.

Bagaimanapun, katanya siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas berkenaan cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM