KUALA KANGSAR, 21 April- Sebuah bas ekspres terbakar di Kilometer (KM) 242.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Arah Utara, Perak, tengah malam tadi.
Ketika kejadian terdapat 16 orang dalam bas berkenaan termasuk pemandu.
Bagaimanapun menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fawwaz Abdul Jamil, kesemua mangsa itu dilaporkan selamat.
Mohd Fawwaz berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 12.01 tengah malam sebelum 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan BBP Meru digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera.
"Dalam kejadian itu, sebuah bas ekspres telah terbakar dianggarkan sehingga 80 peratus.
"Terdapat 16 orang mangsa di dalamnya termasuk pemandu berada dalam keadaan selamat dan telah dipindahkan ke bas yang lain sewaktu pasukan bomba tiba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.51 tengah malam dan operasi itu tamat sepenuhnya pukul 1.34 pagi tadi.