fb fb fb fb fb

Laluan sempadan Kuching-Singkawang, Indonesia rancak sosioekonomi negara

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin dalam lawatan kerja rasmi ke Pos ICQS Biawak/FOTO JIM Sarawak

LUNDU, 20 Disember - Perkhidmatan bas rentas sempadan bagi laluan Kuching, Sarawak dan Singkawang, Indonesia  memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, laluan yang melibatkan jarak sejauh 270 kilometer itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila menerima kira-kira 500 penumpang dari kedua-dua negara sejak dimulakan pada 1 Disember lalu.

“Hari ini sahaja ada lebih 50 orang ingin masuk ke Sarawak dan kita berharap dengan ada tambahan laluan ini makin banyak interaksi hubungan kerjasama antara Kalimantan Barat dengan Sarawak.

“Ia pastinya merancakkan sosioekonomi dan perdagangan dan sebagainya pada masa hadapan.

"Bagaimanapun kerajaan Sarawak masih menunggu kelulusan perjanjian antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Indonesia, bagi membenarkan perjalanan terus bas ekspres dari Kuching ke Singkawang dan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada perasmian laluan baharu perkhidmatan bas rentas sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Biawak, di sini semalam.

Sementara itu, Konsul Jenderal Republik Indonesia Raden Sigit Witjaksono berharap laluan Kuching ke Singkawang ini dapat dilaksanakan secara terus sama seperti laluan Kuching ke Pontianak.

Ini sekali gus katanya diharap dapat meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai perkara antara Sarawak dan Kalimantan melalui jaringan terus perkhidmatan darat.

Perkhidmatan Bas Ekspres bagi laluan Kuching - Singkawang, Indonesia merupakan yang kedua selepas Kuching - Pontianak.

Terdahulu, Lee menyempurnakan majlis pelancaran laluan baru bas ekspres lintas sempadan bagi jajaran Kuching-Singkawang yang akan melalui Pos ICQS Biawak (Malaysia) - PLBN Aruk (Indonesia).

Pembukaan laluan bas ekspres baru tersebut melalui ICQS Biawak - PLBN Aruk dijangka akan memberikan lebih banyak pilihan pengangkutan sedia ada dan meningkatkan anjakan transformasi ekonomi di kedua-dua kawasan tersebut.

Laluan Kuching - Singkawang melalui ICQS Biawak - PLBN Aruk merupakan laluan paling singkat yang mengambil masa selama 5 jam dengan jarak perjalanan keseluruhan 270 kilometer.

Dalam pada itu, Lee turut berharap penerbangan terus laluan antara Kuching-Pontianak dapat disambung semula pada tahun depan.

Ketika ini, kementerian masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Indonesia untuk menghidupkan semula penerbangan itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN