KUALA LUMPUR, 1 April- Program Baraan atau lebih dikenali ziarah raya akan diteruskan sebagai medium untuk menarik lebih ramai golongan belia menyertai acara tradisi masyarakat Jawa khususnya di daerah Kuala Selangor supaya tidak luput ditelan zaman.
Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia akan menghidupkan amalan sejak 1950-an dan akan memperkukuh ikatan persaudaraan selain mempererat semangat kejiranan.
"Kita mahukan anak muda terlibat secara langsung dan menghayati makna baraan bukan sekadar mereka akan bermotosikal.
"Dahulu ziarah ini hanya dilakukan dengan berbasikal. Kita bersama-sama orang yang lebih tua menziarahi dan bertemu dengan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program Bara'an Ziarah Raya 75 tahun Jubli Intan Kampung Assam Jawa di sini.
Dianggarkan sebanyak 300 buah rumah dari tiga buah kampung akan diziarahi bermula pagi tadi hingga petang.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Assam Jawa, Kampung Bukit Kucing dan Kampung Ijok dengan penglibatan lebih 200 peserta baraan.
Dzulkefly turut merasmikan 'Rumah Sarapan' milik Suharto Bakri dan Mortini Mesari iaitu rumah unik yang meraikan peserta Baraan dengan juadah sarapan pagi menu tradisi sempena Aidilfitri.
Beliau turut memberikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir untuk meraikan mereka yang hadir pada majlis itu.