
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada kira-kira 5.2 juta pelajar sekolah seluruh negara dijangka akan selesai diagihkan sepenuhnya selewat-lewatnya minggu hadapan.
- Wang BAP sudah dimasukkan ke akaun bank sekolah seluruh negara dan menunggu pengagihan oleh pihak sekolah.
- Setiap pelajar akan menerima RM150, termasuk jika keluarga mempunyai lebih daripada seorang anak.
- Pengagihan dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya minggu hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas berkata wang BAP sudah dimasukkan ke dalam akaun bank sekolah seluruh negara dan hanya menunggu pengagihan dilakukan pihak sekolah.
“Duit tersebut telah masuk dan disahkan oleh pihak bank. Ini bermakna KPM telah menyalurkan peruntukan berkenaan ke akaun sekolah, dan mulai hari ini atau esok, pihak sekolah boleh mula mengedarkan BAP kepada semua murid tanpa mengira usia serta tidak berdasarkan bilangan ahli keluarga.
“Kalau keluarga itu ada lima orang, setiap seorang akan dapat RM150 bagi membantu meringankan beban,” katanya di sini.
Terdahulu, beliau meninjau hari pertama sesi persekolahan 2026 di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.
Seramai 940 murid mendaftar masuk ke sekolah berkenaan hari ini.
Seramai 22,213 murid Tahun Satu dan 9,528 prasekolah memulakan persekolahan di 352 sekolah rendah di seluruh Terengganu, hari ini.
Keseluruhannya di Terengganu 507 buah memulakan sesi persekolahan 2026 melibatkan jumlah keseluruhan 257,423 pelajar dengan kekuatan 22,434 guru.