
SAMARAHAN, 14 Mac – Kadar bantuan program tanam semula getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Sarawak akan dinaikkan bermula tahun ini.
- Kadar bantuan dinaikkan kepada RM23,000 sehektar daripada RM14,805.
- Kenaikan bertujuan membantu pekebun kecil menampung kos pembangunan kebun seperti input, buruh, logistik dan kerja lapangan.
- Bayaran dibuat secara berfasa; selaras RMK-13, kenaikan sama untuk Semenanjung dan Sabah akan diumumkan segera.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar baharu bantuan itu meningkat kepada RM23,000 sehektar berbanding RM14,805 sehektar sebelum ini.
Langkah tersebut diambil bagi membantu pekebun kecil menghadapi peningkatan kos pembangunan kebun termasuk input pertanian, buruh, logistik serta kerja lapangan.
“Kenaikan ini melibatkan pertambahan sebanyak RM8,195, iaitu peningkatan kira-kira 55 peratus.
Bayaran akan dibuat secara berfasa meliputi penyediaan kebun, benih dan input pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil RISDA Negeri Sarawak di Kampung Niup, di sini.
Menurut beliau, langkah tersebut selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan pembangunan komuniti pekebun kecil getah lebih progresif dan responsif.
Tambahnya, kenaikan kadar bantuan sama bagi Semenanjung dan Sabah akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sarawak merekodkan lebih 100,000 pekebun getah berdaftar.