
38 Sekolah Dalam Kem (SDK) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima 3,270 unit komputer riba sebagai usaha memperkasa ekosistem pendidikan dan memperkukuh akses teknologi anak anggota tentera.
- 3,270 komputer riba disumbang MCMC kepada 38 Sekolah Dalam Kem milik ATM untuk memupuk akses teknologi pendidikan.
- Inisiatif bertujuan menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik serta berkesan dengan teknologi terkini.
- Turut diserahkan peruntukan RM25 juta, alat bantu mengajar dan bantuan pendidikan kepada anak warga ATM termasuk OKU dan pesakit kronik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komputer riba itu disumbangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Usaha ini bagi membolehkan pembelajaran dan pengajaran di sekolah untuk anak-anak anggota tentera dilakukan dengan menggunakan teknologi terkini supaya proses pembelajaran mereka menjadi lebih menarik dan berkesan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak.
Sekolah terlibat ialah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1, SK Kem Terendak 2 dan SK Kem Gerak Khas.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan simbolik penyampaian peruntukan senggara RM25 juta dan alat bantu mengajar serta menyampaikan bantuan pendidikan kepada anak-anak warga ATM yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan penghidap penyakit kronik.