BALING, 13 Oktober- Seorang wanita warga emas dan dua lelaki di Kampung Haji Abas dekat sini berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir dan terpaksa berpaut pada pokok bagi mengelak dihanyutkan arus deras.
Komander Operasi Kanan Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.45 pagi.
"Kami menerima panggilan kecemasan untuk operasi penyelamatan pada 3.57 pagi dan 6.45 pagi tadi, panggilan meminta bantuan bagi menyelamatkan tiga mangsa yang sedang berpaut pada pokok.
"Pasukan penyelamat terpaksa mengharungi air yang agak deras menggunakan sistem tali dengan kelengkapan pakaian perlindungan keselamatan (PPE) untuk menyelamatkan mangsa. Semua mangsa diselamatkan dan operasi tamat pada 8.10 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.
"Air banjir di kawasan kejadian sedalam 0.5 hingga 1.5 meter dan terdapat beberapa kawasan arusnya deras disebabkan hujan berterusan," katanya.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa keluar dari rumah selepas banjir melanda bagaimanapun sewaktu dalam perjalanan menyelamatkan diri, arus terlalu deras menyebabkan mereka terpaksa berpaut pada pokok.
Sementara itu, di Kupang dekat sini, lima mangsa termasuk seorang pesakit strok dipindahkan setelah rumah mereka dinaiki air pada 9.29 pagi tadi.