KUALA LUMPUR, 24 Mac- Seramai 3,894 orang daripada 1,154 keluarga terjejas banjir di Johor, setakat pukul 6.00 pagi tadi.
Angka berkenaan meningkat berbanding 3,827 orang daripada 1,126 keluarga, setakat pukul 12.00 tengah malam tadi.
Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan bahawa 24 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di negeri berkenaan.
"Johor Bahru menjadi daerah paling terjejas di negeri itu dengan mencatat 2,409 penduduk terjejas banjir daripada 727 keluarga. Mereka ditempatkan di sembilan PPS.
"Pontian mencatat 553 orang terjejas banjir, Kluang (487 orang), Batu Pahat (358 orang) dan Kota Tinggi (87 orang)," menurut kenyataan itu.
Sementara di Sarawak, seramai 451 orang daripada 145 keluarga, kekal ditempatkan di lima PPS negeri itu.
"Kanowit menjadi daerah paling teruk terjejas di Sarawak, menempatkan 185 orang daripada 72 keluarga di satu PPS.
"Ini diikuti Kapit, 128 orang terjejas. Selangau, 89 orang terjejas manakala Sibu, 49 orang terjejas," menurut kenyataan tersebut.
Di Sabah pula, seramai 306 orang daripada 86 keluarga terbabit dengan banjir.
Angka berkenaan kekal, berbanding tengah malam tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di satu PPS negeri itu.
Ia hanya melibatkan daerah Sebauh.