KUALA LUMPUR, 20 Mac- Seramai 2,836 orang daripada 798 keluarga terjejas banjir di Johor, setakat pukul 8.00 malam tadi.
Angka berkenaan meningkat berbanding 1,691 orang daripada 271 keluarga, setakat pukul 4.00 petang tadi.
Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan 37 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di lima daerah negeri berkenaan.
"Johor Bahru mencatat penduduk paling tinggi terjejas banjir dengan 808 orang daripada 202 keluarga. Kesemua penduduk terjejas itu ditempatkan di enam PPS daerah berkenaan.
"Ini diikuti Kota Tinggi dengan 761 orang daripada 223 keluarga di 10 PPS. Pontian, 620 orang terjejas, Kulai (506 orang) dan Kluang (141 orang)," menurut kenyataan tersebut.
Sementara di Sabah, seramai 1,180 orang daripada 361 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.
Angka berkenaan meningkat berbanding 227 orang daripada 59 keluarga, setakat pukul 4.00 petang tadi.
Kota Marudu mencatat penduduk paling terjejas banjir di negeri itu dengan melibatkan 912 orang daripada 290 keluarga.
Sandakan, 132 orang, Beluran (92 orang), Paitan (33 orang) dan Kudat (11 orang).
Di Sarawak, seramai 32 orang daripada enam keluarga terbabit dengan banjir.
Angka tersebut meningkat berbanding 13 orang daripada enam keluarga, petang tadi.
Ia membabitkan daerah Kapit dan Song.