Banjir tidak halang calon SPM Perlis cipta kecemerlangan

Foto RTM

ARAU, 31 Mac – Bencana banjir yang berlaku di Perlis pada 24 November hingga 6 Disember 2025 lalu bukanlah penghalang bagi calon SPM 2025 untuk mencapai kecemerlangan, malah menjadi pembakar semangat untuk terus belajar meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekolah mencatat Gred Purata Sekolah 2.90 dalam SPM 2025, meningkat berbanding 3.19 pada SPM 2024.
  • Daripada 100 calon SPM, 45 mencapai 6A hingga 9A dan 100 peratus layak menerima sijil.
  • Calon ditempatkan di pusat peperiksaan sementara di Matrikulasi Arau dengan sokongan guru, JPN, komuniti dan PIBG memastikan kebajikan terpelihara.

Ini dibuktikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad, Arau apabila berjaya mencatat Gred Purata Sekolah 2.90 berbanding 3.19 dalam SPM 2024.

Menurut Pengetuanya, Adilah Muhammad Nor, daripada keseluruhan 100 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2025, 45 daripadanya memperoleh keputusan cemerlang dengan memperolehi keputusan 6A hingga 9A serta 100 peratus layak memperolehi sijil.

Sepanjang banjir yang berlaku sehingga menyebabkan sekolah terpaksa ditutup dan calon SPM dipindahkan ke Kolej Matrikulasi Arau, kesemua mereka masih bersemangat untuk mencapai kecemerlangan.

“Pihak sekolah telah menguruskan penempatan seramai 100 calon SPM di pusat peperiksaan sementara di Matrikulasi Arau. Usaha ini dilaksanakan secara bersama dengan kerjasama seluruh warga sekolah, sokongan Jabatan Pendidikan Negeri, komuniti setempat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memastikan kebajikan dan keperluan calon SPM 2025 sentiasa terpelihara.

Hasil kerjasama tersebut, kami berjaya mencapai kejayaan pada hari ini,” katanya kepada RTM ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad bersama Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin.

“Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa, rakan-rakan serta ahli keluarga yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan untuk saya terus berusaha mencapai keputusan cemerlang.

“Saya juga amat berbangga dengan pencapaian ini kerana segala usaha gigih yang dicurahkan dalam bidang akademik akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana berjaya memperoleh 8A+ dan satu A. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa, guru-guru yang banyak membantu sepanjang pembelajaran, serta rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dalam apa jua keadaan.

“Walaupun berdepan pelbagai dugaan dan cabaran, kami berjaya mengharunginya bersama hingga mencapai kejayaan ini,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 3286 calon menduduki peperiksaan SPM 2025 dengan 94.36 peratus layak menerima sijil.