BESUT, 27 Disember - Polis tiada menerima sebarang laporan kecurian atau kehilangan harta benda di rumah penduduk terjejas banjir di daerah ini setakat ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata sepanjang tempoh mereka berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), anggota pasukan keselamatan melakukan rondaan di kawasan-kawasan yang terjejas dengan banjir.
"Sekiranya ada sebarang kecurian atau kehilangan harta dan sebagainya boleh membuat laporan di balai polis berdekatan.
"Kita percaya selama kejadian banjir ini, kita (polis) tidak mendapat sebarang aduan berkaitan rumah yang kena pecah masuk dan sebagainya kerana pihak polis sentiasa membuat rondaan di kawasan-kawasan yang terkena banjir," katanya ketika ditemu bual menjadi tetamu secara langsung dalam siaran Berita Wilayah bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Setakat pukul 4 petang ini, jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu berkurangan kepada 7,108 orang daripada 2,001 keluarga.
Angka itu berkurangan berbanding 10, 145 mangsa dariapda 2,794 pagi tadi.
Beberapa PPS ditutup secara berperingkat dan penduduk terjejas banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan paras air di Terengganu semakin baik dengan hanya dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu di Dungun dan Kemaman manakala sebatang sungai di Setiu melepasi paras amaran ketika ini.