fb fb fb fb fb

Banjir: Terengganu, Kelantan dan Pahang menurun, Johor meningkat

FOTO INFOBENCANAJKM

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Jumlah penduduk terjejas banjir merekodkan penurunan kepada 1,669 orang petang ini selepas Terengganu, Kelantan dan Pahang mencatatkan pengurangan penduduk di pusat pemindahan sementara (PPS), walaupun Johor merekodkan sedikit peningkatan, berbanding data yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), tengah hari tadi.

Menurut Portal Bencana Agensi NADMA, seramai 1,300 orang daripada 386 keluarga di tempatkan di 12 PPS bagi Terengganu melibatkan daerah Dungun, setakat pukul 4.00 petang tadi.

Ia diikuti Johor yang menunjukkan 235 orang daripada 114 keluarga di dua PPS iaitu 206 daripadanya adalah penduduk dari daerah Mersing dan 29 lagi penduduk dari Kota Mersing.

Kelantan pula mencatatkan 108 penduduk dengan 26 keluarga di satu PPS dekat daerah Tanah Merah, manakala Pahang merekodkan 26 penduduk dengan enam keluarga di dua PPS dekat Rompin.

Data NADMA itu turut menunjukkan satu kematian akibat bencana banjir di Kuantan, Pahang pada Rabu lalu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA