KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Dua premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dekat sini yang terjejas banjir ditutup selama dua hari sehingga esok bagi tujuan pembersihan.
Tabika berkenaan adalah Tabika KEMAS Klang Gate, Gombak dan Tabika KEMAS Jalan Hulu Klang di Batu 8, Ampang.
"KEMAS akan memastikan premis tersebut dibersihkan sepenuhnya dan disanitasi bagi menjamin keselamatan kanak-kanak dan kakitangan apabila dibuka semula Khamis ini, selain melakukan penilaian terhadap kerosakan akibat banjir," menurut kenyataan KEMAS.
Selain itu, KEMAS juga akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pasukan penyelamat untuk menilai keadaan sistem saliran di sekitar kawasan berkenaan dan mengambil langkah pencegahan termasuk memperbaiki sistem perparitan bagi mengelak kejadian banjir berulang.
"Bagi kawalan penyakit berjangkit, langkah mencegah dan mengawal penyakit berjangkit akan dilaksanakan dengan mendapatkan khidmat nasihat pejabat kesihatan.
"KEMAS sentiasa mengikuti dan mengambil perhatian terhadap pengumuman Jawatankuasa Bencana Alam Negara dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa," tambah kenyataan itu.
Banjir kilat menyebabkan kedua-dua premis Tabika KEMAS itu dinaiki air.
Kejadian tersebut tular di media sosial yang antaranya memaparkan sekumpulan pelajar berdepan detik cemas apabila bilik darjah dinaiki air secara tiba-tiba.- BERNAMA