KOTA BHARU, 29 November-Sembilan balai polis di daerah Tumpat dan Pasir Mas di Kelantan terpaksa ditutup sementara, susulan banjir yang semakin serius di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan walaubagaimanapun tidak akan menjejaskan tahap keselamatan yang tetap menjadi keutamaan ketika ini.
Katanya, semua pegawai dan anggota yang terlibat telah dipindahkan ke kawasan lain yang tidak terkesan dengan banjir.
Jelasnya, peranan berkenaan akan diambil alih oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan ATM.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tapang, Kota Bharu.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Dalam pada itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menasihatkan agar penduduk yang terlibat dengan bencana banjir besar kali ini bersabar dan memohon kepada Allah agar semua urusan dipermudahkan.