fb fb fb fb fb

Banjir Seberang Perai : Jumlah penduduk terjejas di PPS berkurang

Suasana di PPS SK Lahar Yooi / FOTO APM

SEBERANG PERAI, 18 September- Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) dekat Seberang Perai berkurang kepada 605 orang.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Zakaria Taib, setakat pukul tiga tadi, PPS di Dewan Bukit Teh, Bukit Mertajam juga telah ditutup.

Ia menjadikan 10 PPS beroperasi di sekitar seberang perai utara, seberang perai tengah dan seberang perai selatan ketika ini, dengan melibatkan 166 keluarga.

Dalam pada itu, rata-rata penduduk terjejas banjir yang ditemui berharap agar keadaan pulih seperti biasa.

Pada masa sama melahirkan rasa syukur kerana berpeluang tinggal di PPS.

Sementara itu, tinjauan RTM di beberapa kampung sekitar SPU, air sudah mula surut.

Pun begitu, penduduk sentiasa bersiapsiaga ekoran bimbang sekiranya air naik semula, berikutan keadaan hujan yang tidak menentu.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berkuatkuasa sehingga esok.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE