fb fb fb fb fb

Banjir: Satu PPS dibuka di Pontian, tujuh orang terjejas

FOTO APM PONTIAN

PONTIAN, 22 Jun- Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Kokurikulum Kampung Sungai Tempayan, Pontian, Johor masih beroperasi sehingga pukul 9.00 pagi tadi susulan dilanda banjir.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBM) memaklumkan angka penduduk terjejas kekal seramai tujuh orang daripada dua buah keluarga. 

Hujan lebat melebihi empat jam serta pertembungan air pasang Sungai Moleh pada pukul 5.00 pagi semalam mengakibatkan banjir kilat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, paras air di dua sungai di daerah Pontian berada pada tahap normal iaitu Sungai Pontian Besar dengan bacaan 3.79 meter (m) dan Sungai Pulai (1 m).

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini turut mengeluarkan meramalkan cuaca ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri termasuk Johor sehingga pukul 12.00 tengah hari.

"Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah (Langkawi), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) sehingga 12:00 tengah hari; Sabtu, 22 Jun 2024.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm)/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam," menurut kenyataan.

SITI AISHAH MD ISA