PASIR MAS, 24 November- Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pagi tadi di Kelantan membabitkan daerah Pasir Mas.
Ini menjadikan jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat kepada 76 orang daripada 19 keluarga, membabitkan dua daerah setakat pukul 12.00 tengah hari
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Pasir Mas, seramai 32 penduduk terjejas banjir daripada tujuh keluarga kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To’Deh.
Manakala, 44 penduduk terjejas banjir daripada 12 keluarga di daerah Bachok masih berlindung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor.
Dalam pada itu, menurut Public Info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat pukul 11.30 pagi, satu sungai di Kelantan melepasi tahap amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan bacaan 8.74 meter.
Selain itu, satu sungai berada di aras melebihi tahap waspada iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat dengan bacaan 2.08 meter.
Sementara itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu yang ditempatkan di PPS menunjukkan penurunan berbanding pagi tadi.
Seramai 216 penduduk masih ditempatkan di enam PPS yang beroperasi di negeri itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan, hanya dua daerah iaitu Dungun dan Marang yang masih terjejas banjir.
Daerah Marang, mencatatkan penduduk terjejas banjir paling ramai dengan 185 orang yang ditempatkan di empat PPS.
Menurut portal Public Info banjir, paras air di dua sungai utama di Setiu berada pada paras amaran dan menunjukkan trend menaik.
Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.