fb fb fb fb fb

Banjir Sabah: 14 menara pemancar telekomunikasi dipulihkan

Menara pemancar di Sabah/Foto MCMC

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi berjaya memulihkan 14 daripada 41 menara pemancar telekomunikasi di beberapa kawasan Pantai Barat Sabah yang terjejas akibat banjir setakat 10 pagi semalam.

Sementara itu, 27 pemancar lagi masih belum dapat beroperasi.

"Daripada jumlah keseluruhan menara yang terjejas, 34 menara pemancar terpaksa diputuskan bekalan elektrik oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) atas sebab keselamatan.

"Manakala lima lagi terputus hubungan disebabkan oleh jalan yang dinaiki air dan dua menara pemancar mengalami kerosakan peralatan elektronik," kata MCMC menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, kesemua tiga menara pemancar di daerah Tuaran dan satu lagi di daerah Kota Marudu masih belum beroperasi.

Jelasnya, berdasarkan pecahan daerah, sebanyak 13 menara pemancar di daerah Penampang telah dibaik pulih.

"19 lagi masih belum beroperasi, manakala di Kota Kinabalu, satu menara telah beroperasi semula dengan empat lagi dalam proses pembaikan," katanya.

Dalam pada itu, satu daripada lima Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut terjejas dan tidak dibuka kepada orang ramai untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali normal.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan bagi membolehkan pusat NADI di Kampung Sungai Damit, Tuaran boleh dibuka untuk operasi sesegera mungkin,” menurut MCMC.

Katanya, MCMC Sabah akan terus memantau untuk memastikan liputan telekomunikasi di keempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi dengan baik bagi kemudahan mangsa banjir.

“Berdasarkan hasil ujian pemantauan kualiti liputan (QoS), tiada aduan berkaitan kualiti liputan yang diterima di PPS berkenaan setakat ini,” kata MCMC.

Hujan lebat berterusan sejak tengah hari pada Ahad lalu menyebabkan beberapa kawasan di Penampang dan Sipitang dilanda banjir kilat.

Kejadian itu menyebabkan kawasan di Kota Kinabalu dan Penampang mengalami pemotongan bekalan elektrik selain banyak jalan tidak boleh dilalui.

GRACE AISYAH KEDAYAN