PASIR MAS, 30 November – Polis Kelantan mula menggunakan helikopter hari ini untuk menghantar bantuan makanan dan membantu penduduk terjejas banjir di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tumpat dan Rantau Panjang yang terputus hubungan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tujuh PPS di Pengkalan Kubor, Tumpat, dan dua PPS di Rantau Panjang telah dikenal pasti untuk penghantaran bantuan.
“Setakat pukul 8 pagi tadi, dua penerbangan telah dilakukan ke dua PPS di Lubok Stol, Rantau Panjang.
"Di Tumpat, terdapat tujuh PPS, dan kita akan memohon bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya situasi banjir bertambah buruk,” katanya dalam sidang media di Pondok Polis Repek, di sini.
Beliau turut memaklumkan helikopter itu juga akan digunakan untuk membawa penduduk dalam situasi kecemasan yang memerlukan rawatan segera ke hospital.