fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di Sarawak meningkat sedikit, Sabah berkurangan

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 1 Februari- Penduduk terjejas banjir di Sarawak merekodkan sedikit peningkatan iaitu 13,472 orang daripada 3,949 keluarga yang ditempatkan di 74 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding tengah hari tadi iaitu 12,590 orang daripada 3,655 keluarga di 62 PPS.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan melaporkan setakat 4.00 petang ini, daerah Bintulu mencatatkan paling ramai penduduk terjejas iaitu 4,811 orang daripada 1,363 keluarga, diikuti Serian seramai 2,597 orang (806 keluarga) serta Selangau merekodkan 1,056 orang (258 keluarga).

Manakala, di Asajaya merekodkan seramai 860 penduduk terjejas, Tatau (727), Siburan (623), Miri (526), Subis (505), Sebuyau (429), Samarahan (398), Kuching (238), Simunjan (180), Sebauh (176), Kanowit (104), Gedung (15), Mukah (16), Sibu (3).

Sementara itu di Sabah, angka penduduk terjejas semakin berkurangan iaitu 1,702 orang daripada 563 keluarga di 14 PPS berbanding tengah hari tadi iaitu 2,249 orang daripada 718 keluarga di 22 PPS.

Setakat petang ini, daerah Pitas merekodkan paling ramai penduduk terjejas iaitu 806 orang daripada 298 keluarga di lima PPS, diikuti Lahad Datu 514 orang daripada 136 keluarga di dua PPS. Manakala, di Paitan merekodkan 215 penduduk, diikuti Beaufort (110) dan Beluran (57).

ROSLINA BINTI DIN