KUALA LUMPUR, 4 Februari- Angka penduduk terjejas banjir di dua negeri menunjukkan penurunan ketara kepada 6,454 orang daripada 1,879 keluarga pada malam ini berbanding 9,466 orang daripada 2,785 keluarga pada 12.00 tengah hari tadi.
Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan Sarawak merekodkan penurunan penduduk terjejas banjir iaitu 6,292 orang berbanding iaitu 9,364 orang tengah hari tadi. Sebanyak 32 pusat pemidahan sementara (PPS) yang masih aktif di negeri itu.
Manakala di negeri Sabah merekodkan sedikit peningkatan penduduk terjejas iaitu 162 orang berbanding 102 orang pada tengah hari dengan hanya dua PPS yang masih aktif.
Menurut NDCC NADMA enam daerah di Sarawak merekodkan penduduk terjejas iaitu Bintulu (2,429) di tujuh PPS, Miri (1,372) di 11 PPS, Sibu (828) di lima PPS, Serian (792) di dua PPS, Samarahan (426) di tiga PPS dan Mukah (313) di empat PPS.
Sementara itu, di Sabah pula melibatkan 162 penduduk terjejas daripada 46 keluarga di daerah Kinabatangan.