fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di Kelantan, Terengganu berkurangan

Foto fail

KOTA BHARU, 24 November- Jumlah penduduk terjejas banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan kekal seramai 62 orang.

Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, hanya dua PPS masih beroperasi masing-masing sebuah di Pasir Puteh dan Rantau Panjang, Pasir Mas.

PPS yang masih di buka adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, Pasir Puteh menempatkan 30 penduduk dari 7 keluarga, manakala 32 penduduk terjejas banjir di Rantau Panjang berlindung di SK Tok Deh.

Sementara itu, dua sungai utama mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau  9.13 meter dan Sungai Kelantan di Kuala Besar, 1.99 meter.

Tiga lagi sungai direkodkan melepasi paras waspada iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang.

Di Terengganu, penduduk terjejas banjir adalah seramai 1181 orang daripada 320 keluarga setakat 7.00 pagi ini. Angka tersebut mencatatkan penurunan berbanding malam tadi, sebanyak 1,577 orang.

Penduduk terjejas berlindung di 18 pps di beberapa daerah di negeri itu termasuk di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Besut, Marang dan Dungun.

ROSLINA BINTI DIN