KUANTAN, 2 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang terus berkurangan.
Setakat pukul 7 malam, seramai 124 orang daripada 34 buah keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berbanding 149 orang pada pukul 4 petang.
Kesemua mereka berlindung di enam PPS yang dibuka di daerah Bera, Maran dan Kuantan.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Bera merekodkan penduduk terjejas paling ramai iaitu 92 orang daripada 27 buah keluarga yang ditempatkan di empat PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gemuruh, Masjid Kampung Mengkarak, Balai Raya Kampung Seberang Guai dan SK Sri Buntar.
Di Maran, seramai 25 penduduk daripada enam buah keluarga berada di sebuah PPS, iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian, manakala di Kuantan, tujuh penduduk daripada sebuah keluarga berlindung di PPS Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan.