KUALA LUMPUR, 15 Disember- Banjir di PAHANG hampir pulih apabila hanya empat orang daripada dua keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini berbanding 11 orang daripada empat keluarga, petang tadi.
Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan kesemua penduduk berkenaan dari daerah Maran yang berlindung di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, setakat pukul 8.00 malam ini.
Di JOHOR, jumlah penduduk terjejas banjir tidak berubah iaitu 36 orang daripada 11 keluarga, setakat 10.00 malam ini. Hanya satu PPS masih beroperasi iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat, menurut Info Bencana JKM.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di negeri Johor (Kluang, Kulai, dan Kota Tinggi), Sarawak (Sarikei, Sibu, Kapit, Miri, Limbang), serta Sabah (Pedalaman Sipitang) sehingga 12.00 tengah malam ini.
Amaran berkenaan adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam, menurut METMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 9.00 malam tadi.