fb fb fb fb fb

Banjir Melaka: Satu PPS ditutup tengah hari ini

FOTO FB JKR Melaka Tengah

MELAKA, 15 April- Situasi banjir di Melaka semakin pulih setakat tengah hari ini apabila satu daripada tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak malam tadi di Durian Tunggal dan Ayer Keroh ditutup.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, PPS yang ditutup ialah PPS Dewan Japerun Ayer Keroh pada pukul 11.00 pagi tadi.

Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal dalam proses penutupan berikutan penduduk terjejas sudah mula pulang ke kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, PPS Balairaya Bukit Balai di Alor Gajah masih menempatkan 38 penduduk terjejas daripada enam keluarga.

Banjir di Melaka berlaku berikutan hujan lebat berterusan kira-kira dua jam bermula pukul 4.00 petang semalam yang menyebabkan air sungai dan parit melimpah ke kawasan penduduk yang rendah.

Sehingga pukul 8.00 pagi tadi, seramai 122 penduduk terjejas banjir daripada 34 keluarga berpindah ke tiga PPS yang dibuka.

ARTIKEL BERKAITAN
Banjir kilat di Melaka, dua PPS dibuka
Banjir kilat: 103 penduduk terjejas di Alor Gajah, Melaka Tengah

SITI AISHAH MD ISA