TUMPAT, 29 Disember- Solat Jumaat di Masjid Bendang Pak Yong, sini, Kelantan, hari ini digantikan dengan solat fardu zohor berjemaah susulan jumlah makmum tidak mencukupi kerana situasi banjir.
Tinjauan pemberita RTM di masjid berkenaan mendapati jemaah terpaksa menggunakan perahu bagi meredah banjir setinggi hampir dua meter untuk ke masjid tersebut.
Imam Muda Masjid Mukim Bendang Pak Yong, Roszaidi Abdul Rashid berkata, solat zohor dilakukan selepas bilangan jemaah yang juga anak mukim hanya seramai 15 orang.
Katanya, perkara itu biasa berlaku setiap kali musim banjir melanda kerana ramai penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Kita tunggu (makmum) dari pukul 12.00 (tengah hari) lagi, sehinggalah sampai pukul 1.00 tengah hari pun tiada orang datang.
"Masuk waktu zohor, kira-kira (bilangan makmum) tak cukup juga, tak cukup 40 orang. Jadinya tidak boleh tunaikan solat Jumaat, (dan) kita buat solat zohor," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Terdapat beberapa kampung di sekitar Pengkalan Kubor dilanda banjir 'termenung' antaranya Kampung Kuala Jambu, Kubang Sawa, Naga Ibu, Bendang Pak Yong, Simpangan, Kajang Sebidang, Derdap, Teluk Jering dan Jejulok.