fb fb fb fb fb

Banjir: Lebih 27,000 penduduk terjejas, libatkan 5 negeri

Situasi banjir di Kelantan/ JBPM Kelantan

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Seramai 27,499 penduduk daripada 8,239 keluarga terjejas banjir di lima negeri setakat 10.00 malam ini, berbanding 25,827 daripada 7,535 keluarga petang tadi.

Menurut portal InfoBencanaJKM, sebanyak 203 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor.

Penduduk paling ramai terjejas direkodkan di negeri Kelantan iaitu sebanyak 17,281 penduduk daripada 5,431 keluarga. Sebanyak 86 PPS dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas.

Bagaimanapun, jumlah tersebut mencatatkan penurunan berbanding petang tadi iaitu seramai 15,167 penduduk terjejas daripada 4,621 keluarga di 89 PPS.

Manakala, di Terengganu seramai 9,997 penduduk daripada 2,793 keluarga ditempatkan di 110 PPS setakat ini. Jumlah tersebut juga menunjukan penurunan berbanding petang tadi iaitu 10,153 daripada 2783 keluarga dan 133 PPS beroperasi petang tadi.

Sementara itu, di Pahang pula, sehingga kini sebanyak 6 PPS dibuka di negeri itu membabitkan 333 penduduk terjejas daripada 82 keluarga.

Di Selangor, masih kekal satu PPS dibuka sehingga kini dengan 4 penduduk terjejas daripada 1 keluarga di daerah Kuala Langat.

Terkini, Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan merekodkan 83 orang penduduk terjejas banjir daripada 25 keluarga dan satu PPS telah dibuka di Mersing.

ROSLINA BINTI DIN