fb fb fb fb fb

Banjir: Lebih 12,000 tan sisa dikumpul di negeri terjejas

Sebanyak 12,852.18 tan metrik sisa banjir telah dikumpulkan dan dibersihkan di negeri-negeri yang terjejas banjir sejak 28 November hingga 11 Disember lalu / Foto RTM

ALOR SETAR, 15 Disember – Sebanyak 12,852.18 tan metrik sisa banjir telah dikumpulkan dan dibersihkan di negeri-negeri yang terjejas banjir sejak 28 November hingga 11 Disember lalu, melibatkan 45 lokasi termasuk 22 kawasan perkhidmatan dan 23 kawasan luar perkhidmatan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata banjir yang bermula pada 26 November menyebabkan pengumpulan lumpur serta longgokan sampah pukal di kawasan kediaman.

“Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengambil tindakan segera dengan menggerakkan jentera pembersihan syarikat konsesi bagi membersihkan longkang dan sampah pukal, dibantu oleh pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pembersihan dan pengurusan pascabanjir di Taman Aman, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed.

Sebanyak 153 unit jentera dengan kekuatan 362 pekerja telah digerakkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa banjir.

Antara cabaran utama adalah lumpur yang tebal dan jumlah sampah pukal yang banyak.

Menurut Aiman, pembersihan dijalankan secara berperingkat kerana terdapat longgokan sampah yang perlu dilupuskan dalam beberapa pusingan.

“Kami meletakkan sasaran untuk menyelesaikan semua kerja pembersihan menjelang 20 Disember. InsyaAllah, kita doakan tiada gelombang banjir baharu.

"Untuk gelombang yang lalu, kami ingin memastikan tiada lagi longgokan sampah dan kawasan terjejas telah bersih sepenuhnya menjelang tarikh tersebut,” ujarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN