fb fb fb fb fb

Banjir: Laluan utama Pasir Mas-Rantau Panjang ditutup kepada semua kenderaan

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan

PASIR MAS, 26 Disember- Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu mengakibatkan laluan utama Pasir Mas-Rantau Panjang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, tindakan tersebut dilaksanakan selepas laluan berkenaan ditenggelami air.

Beliau berkata, penutupan jalan tersebut menyebabkan laluan untuk ke Rantau Panjang terputus.

Katanya, penutupan jalan utama itu, bagaimanapun tidak menghalang operasi menyelamat penduduk terjejas banjir di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.

"Bermula daripada Jambatan Lubok Jong ini, kita telah mula menutup jalan memandangkan di kawasan culvert 5 iaitu jalan Pasir Mas Rantau Panjang telah dinaiki air hampir 1 meter pagi tadi.

"Saya percaya sekarang ini, telah melepasi 1 meter dan telah ditutup kepada semua kenderaan dan ini menyebabkan laluan ke Rantau Panjang melalui jalan utama telah terputus", katanya dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (Mencari dan Menyelamat) di Pondok Polis Repek, Pasir Mas.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan banjir kali ini.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan pihak berwajib sekiranya inginkan mendapatkan sebarang maklumat berkaitan banjir.

ROSLINA BINTI DIN