PUTRAJAYA, 24 Mac- Kementerian Pendidikan akan memaastikan sekolah-sekolah terjejas banjir mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia bagi memastikan pelajar berada dalam suasana kondusif ketika pembelajaran.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan kerosakan sekolah akibat banjir.
"Bergantung kepada kerosakan yang berlaku pada setiap sekolah. Jadi, untuk ketika ini, kita masih lagi menunggu laporan keseluruhan, khususnya daripada Johor yang terkesan baru-baru ini dengan banjir.
"Kita akan terus memastikan bahawa sekolah-sekolah kita ini mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera supaya suasana kondusif dapat kita laksanakan untuk pembelajaran anak-anak kita", katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Hari Raya Sekolah Rendah Putrajaya di Putrajaya.
Mengulas lanjut, sebanyak RM26.4 juta telah diperuntukkan untuk membaik pulih sekolah yang terjejas banjir setakat Disember 2024 hingga Januari tahun ini.
Ia melibatkan lima negeri termasuk di Kedah, Kelantan, Teregganu, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan tidak berkompromi terhadap isu perkauman yang berlaku di sekolah.
Sekiranya berlaku, tindakan akan dikenakan kepada mereka yang terlibat termasuk guru, pelajar serta pegawai yang didapati bersalah.
Fadhlina mengulas mengenai isu rakaman audio melibatkan seorang guru yang membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang pelajar.
"Kita telah maklumkan, kita telah menjalankan siasatan dan saya ingin tegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia tidak kompromi dalam soal perkauman yang berlaku di sekolah yang melibatkan guru mahupun pelajar ataupun mana-mana pegawai. Jadi, kita tidak kompromi dalam soal ini. Siasatan sudah berlangsung dan tindakan akan kita lakukan", katanya.