KUALA LUMPUR, 28 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah segera menggunakan sumber sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, arahan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan supaya membelanjakan serta-merta peruntukan daripada sumber DBKL dan kerajaan akan membayar balik nanti bagi menyelesaikan masalah banjir kilat," katanya dalam ucapan pada program Nur Ramadan di sini malam tadi.
Katanya, peruntukan bakal diguna bagi menjayakan perangkaan pelan jangka pendek dan jangka panjang.
Ini termasuk kajian serta Konsep Mitigasi untuk banjir kilat di Kuala Lumpur dalam usaha meminimumkan impak urbanisasi terhadap persekitaran.
Antara langkah jangka pendek termasuk menempatkan pasukan pemantau di lokasi hotspot dan menempatkan pam mudah alih di kawasan hotspot banjir yang berfungsi memindahkan lebihan air bertakung ke kawasan bersesuaian seperti kolam takungan banjir.
(FOTO/Facebook Shahidan Kassim)
Shahidan berkata antara pelan jangka pendek lain ialah pembelian lebih banyak pam mudah alih yang akan dilaksanakan serta-merta dan penggunaan beg pasir sebagai langkah mitigasi selain menempatkan 25 pasukan di lapangan bagi proses pembersihan kawasan hotspot banjir bermula esok.
"Bagi menjalankan kajian ini, DBKL telah melantik IKRAM (Institut Kerja Raya Malaysia) selaku perunding. Kajian ini mengambil masa 12 bulan dan melibatkan lima fasa," katanya.
Tanpa mendedahkan jumlah dana yang diperlukan, Perdana Menteri juga mahu dana kecemasan DBKL bagi tujuan tersebut dioptimumkan.