GUA MUSANG, 19 Oktober- Penduduk di Taman Agropolitan Rantau Manis di Gua Musang, Kelantan mengaku serik untuk membeli kelengkapan rumah susulan kerap menanggung kerugian apabila kediaman mereka sering terjejas akibat banjir kilat.
Dalam kejadian terbaharu, penduduk kembali berdepan bencana banjir kilat selepas hujan lebat berterusan selama satu jam.
Seorang penduduk, Che Rosri Che Rahim berkata, sejak keluarganya mendiami kawasan berkenaan 12 tahun lalu, sudah lima kali rumah mereka berdepan bencana banjir kilat.
Katanya, anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung keluarga akibat banjir kilat setakat ini mencecah RM20,000.
"Banjir kali ini agak besar dan ini sudah kali kelima kami menghadapinya. Kami sudah lali dan terbiasa tetapi perasaan trauma tetap ada. Ketika kejadian, air naik sehingga paras betis. Kami bina tempat yang lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga, namun apabila takdir dan kuasa Allah menentukan sebaliknya, kami reda dan menerimanya dengan hati terbuka," kata Che Rosri Che Rahim.
"Setiap kali banjir kilat, kami memang perlu bersedia. Bila hujan, kami berjaga sebab air mudah masuk ke rumah melalui laluan ini. Ini sudah kali keempat, dan kali ini paling teruk berbanding sebelumnya," jelas Rokeeyoh Rahim.
"Hujan semakin lebat, bila nampak air naik, kami terus selamatkan barang-barang di bawah seperti kain dan keperluan lain. Barang berat memang tak mampu diangkat, jadi terpaksa dibiarkan. Trauma bila tengok air deras masuk bersama sampah," ujar Yah Omar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata sebanyak empat buah rumah terjejas teruk akibat banjir kilat melibatkan hampir 30 mangsa.
Katanya, laporan awal mengenai keluarga terlibat telah dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan susulan.