SIK, 1 Oktober- Tiga sekeluarga di Kampung Charuk Tenang di Sik, Kedah, berdepan detik cemas apabila rumah yang didiami mereka dinaiki air, mencecah kira-kira satu meter.
Insiden yang berlaku pada pukul 10.00 malam tadi, menyebabkan mereka terperangkap sebelum diselamatkan pasukan keselamatan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik, Leftenan (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata kejadian berlaku berpunca akibat hujan lebat selama empat jam di kawasan hulu, sekitar daerah Sik.
Tambahnya, Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan daripada mangsa, untuk mendapatkan bantuan pemindahan.
"Sepasukan pegawai dan anggota digegaskan ke lokasi, bagi menjalankan operasi menyelamat."
"Selain Kampung Charuk Tenang, beberapa buah rumah di kampung berlainan turut dilanda banjir kilat," kata Leftenan Haisul kepada pemberita.
Turut terjejas, Kampung Bendang Man, Kampung Chepir, Kampung Jerai di hulu Sungai Chepir serta Kampung Lubuk Tualang di hulu Sungai Charuk Tebal.
Setakat ini, beberapa keluarga ditempatkan di Surau Kampung Lalang dan tiga keluarga di Balai Islam Tanjung Belit.
"Saya menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko bencana banjir, terutama di sepanjang Sungai Chepir, supaya berpindah ke kawasan selamat sekiranya paras air terus meningkat."
"Ia bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa dan kerugian harta benda," tambahnya.