fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Penampang, puluhan kenderaan ditenggelami air

Hujan lebat di beberapa daerah mengakibatkan kenaikan paras air/Foto RTM Donny Ijom

KOTA KINABALU, 30 Jun - Beberapa kawasan di daerah Penampang, Papar, Sipitang, Tamparuli dan Tuaran dilanda banjir akibat hujan lebat tanpa henti sejak petang tadi.

Di Penampang, antara kawasan terjejas, Penampang Proper, Jalan Kasigui, Jalan Kiranau, Jalan Kibabaig, Jalan Datuk Panglima Banting, Kampung Kolopis, Dabak, Kampung Sugud dan beberapa kawasan lain.

Tinjauan RTM, setakat pukul 9 malam tadi, mendapati beberapa kawasan perumahan masih dinaiki air menyebabkan beberapa jalan tidak dapat dilalui selain kejadian cerun runtuh.

Kelihatan puluhan kenderaan juga ditenggalami banjir kilat sehingga hampir mencecah bumbung.

Salah seorang kakitangan RTM Sabah, Donny Ijom berkata, banjir kilat bukanlah kejadian pertama kali berlaku di kawasan rumahnya.

"Sebelum ini memang banjir, tapi ini kali pertama rumah saya dimasuki air. Rumah saya habis tenggelam, saya pun tidak boleh balik, kebetulan malam ini saya terpaksa bekerja.

"Saya tinggal di rumah yang bertingkat, jadi aras bawah dimasuki air. Anak saya berusia 13 tahun tinggal di rumah kini menumpang jiran yang berada di tingkat 1," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang ketika dihubungi memberitahu, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Kebudayaan Penampang pukul 5.25 petang tadi.

PPS dibuka berikutan hasil pemantauan dan penilaian oleh agensi keselamatan dibawah JPBD di sekitar Penampang.

Banjir kilat juga dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Sipitang antaranya Jalan Kota Kinabalu-Sindumin, kawasan Pekan Sipitang dan Pasar Awam Sipitang.

GRACE AISYAH KEDAYAN