fb fb fb fb fb

Banjir kilat: 132 penduduk di Kulim dan Bandar Baharu dipindahkan ke PPS

Hujan lebat selama beberapa jam petang semalam menyebabkan empat daerah di Kedah dilanda banjir kilat / Foto APM Kedah

KULIM, 17 Mei - Hujan lebat selama beberapa jam petang semalam menyebabkan empat daerah di Kedah dilanda banjir kilat.
 
Daerah terlibat ialah Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (Pertahanan Awam) Amirul Aliff Ahmad berkata hujan lebat yang turun sejak pukul lima petang semalam menyebabkan air dari kawasan bukit berdekatan melimpah ke kawasan rendah.
 
Beliau berkata, sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka masing-masing di Daerah Kulim dan di Bandar Baharu yang menempatkan 132 penduduk melibatkan 31 keluarga.

Di Kulim, 74 penduduk yang terlibat dari Kampung Padang Limau Karangan telah dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Ihsaniah Jangkang selepas kediaman mereka dilanda banjir.
 
Keadaan itu menyebabkan beberapa buah rumah yang didiami penduduk dinaiki air sehingga paras satu meter, malam tadi.
 
Kesemua penduduk terlibat diarah berpindah ke PPS Sekolah Agama Ihsaniah Jangkang yang dibuka pada pukul 12.12 pagi tadi.
 
Di Bandar Baharu, kejadian melibatkan sembilan buah rumah di Mukim Sungai Batu, Kampung Cherok Menanti, Kampung Sungai Batu dan Kampung Sungai Tengas, Mukim Selama.
 
Kesemua 58 penduduk melibatkan 14 keluarga ditempatkan di PPS Masjid Sungai Batu yang dibuka pukul 3 pagi tadi.
 
Sementara itu di Pendang, Lapan buah rumah didiami kira-kira 20 penduduk di Kampung Cina turut dinaiki air.
 
Di Kuala Muda, Lima keluarga di Kampung Jerung, Sidam Kiri turut terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.
 
Bagaimanapun tiada PPS dibuka di Daerah Kuala Muda dan Pendang setakat pagi ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN