fb fb fb fb fb

Banjir: Kerajaan Melaka jamin kebajikan penduduk terjejas sepanjang Ramadan

Rais ketika melawat penduduk terjejas banjir di PPS / Foto RTM

MERLIMAU, 7 Mac- Kerajaan Melaka memberi jaminan kebajikan penduduk terjejas banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam bulan Ramadan ini terjamin.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, segala keperluan termasuk juadah berbuka puasa dan sahur disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa cakna dengan kebajikan mereka yang terjejas terutamanya pada bulan ramadan ini.

"Jadi kita memang sentiasa alert, tetapi kita juga perlu bantuan daripada masyarakat supaya memberi kerjasama. Jangan takut berpindah ke PPS, kerana ia adalah lebih baik.

"Anda berpindah ke PPS, di sini kita akan menjaga segala kebajikan. Apa yang kurang, semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) kawasan masing-masing ada, mereka juga akan datang melawat dan menziarahi semua penduduk terjejas.

"Jika terdapat kekurangan daripada segi makanan, seperti tiada sahur atau sebagainya, tetapi setakat apa yang kita lihat tadi, makanan telah pun kita sediakan untuk anak-anak yang tidak berpuasa, dan juga untuk juadah berbuka puasa.

"Kita akan sediakan," katanya ketika turun padang melawat penduduk terjejas banjir di PPS SMK Dang Anum, di sini.

Katanya, kerajaan negeri dalam proses menyelesaikan masalah banjir di Melaka melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di sekitar negeri itu.

Dalam pada itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Melaka meningkat kepada 330 orang, setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Melaka, kesemua penduduk terjejas banjir itu ditempatkan di lima PPS di dua daerah negeri itu.

Lima PPS terbabit adalah tiga di daerah Jasin dan dua dibuka di daerah Alor Gajah.

"PPS SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Dang Anum, Merlimau di daerah Jasin menempatkan paling ramai penduduk terjejas iaitu 152 orang daripada 45 keluarga, diikuti  PPS SMK Dato’ Abdul Rahman yang menempatkan 107 penduduk terjejas daripada 31 keluarga.

"Sebuah lagi PPS yang dibuka di Jasin adalah PPS SK (Sekolah Kebangsaan) Parit Penghulu dengan lima penduduk terjejas daripada dua keluarga.

"Manakala dua PPS yang dibuka di daerah Melaka Tengah adalah PPS SK Seri Duyong yang menempatkan 43 penduduk terjejas banjir daripada 10 keluarga dan PPS SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) Malim dengan 23 penduduk terjejas daripada lima keluarga," menurut kenyataan itu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM