fb fb fb fb fb

Banjir Kelantan: Lebih 7,000 anggota pasukan keselamatan dikerah bantu mangsa terjejas

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi /Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 29 November-Lebih 7,000 anggota dan pegawai pasukan keselamatan telah diatur gerak bagi membantu penduduk terjejas banjir di Kelantan ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini turut melibatkan pelbagai aset yang telah diatur gerak sejak lapan hari lalu bagi melancarkan operasi menyelamat susulan situasi banjir di negeri itu yang disifatkan lebih teruk berbanding 2014.

Malah turut serta membantu ialah Persatuan Nelayan yang turut menawarkan khidmat mereka di kawasan pendalaman dan sekitar.

“Di mana kita dah gerakkan antaranya ialah trak-trak tentera dengan kekuatan PTM iaitu berat tanpa muatan iaitu 3 tan, 5 tan dan kita sedang mengatur gerakkan PTM 7 tan.

"Kita juga turut memobilisasikan aset lain dikendalikan oleh PDRM JBPM APMM malah oleh Persatuan Nelayan. Di mana mereka menawarkan khidmat untuk bantu bagi kawasan sekitar pendalaman", katanya demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Tapang di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara  (NADMA) untuk menambah khemah-khemah daripada stor di negeri-negeri yang belum dilanda banjir ke PPS terlibat susulan isu kekurangan khemah di PPS di Kelantan.

Malah kebenaran khas untuk membuka baru PPS juga telah diberi termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk di Tumpat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa hampir setengah jam melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sering, di sini.

Beliau di temani Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud bertanya khabar dan beramah mesra bersama penduduk terjejas banjir yang berlindung di PPS berkenaan.
 
PPS SK Sering yang mula beroperasi sejak Rabu lepas menempatkan seramai 333 penduduk terdiri daripada 103 keluarga.
 
Kebanyakan mereka yang berpindah ke PPS tersebut merupakan dalam kalangan penduduk kampung sekitar.
 
Usai lawatan, Timbalan Perdana Menteri bergerak ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa untuk berlepas pulang ke ibu negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD