BANDAR BAHARU, 17 Mei- Kesemua 58 penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Sungai Batu dekat Bandar Baharu, Kedah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Mereka daripada 14 keluarga itu ditempatkan di PPS berkenaan sejak pukul 3.00 pagi tadi susulan banjir kilat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Leftenan (Pertahanan Awam) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS tersebut ditutup secara rasminya pukul 4.00 petang tadi.
Bagaimanapun, pihaknya kini sedang memantau situasi di Kampung Banggol Rashid, Mukim Selama yang dinaiki air petang tadi.
Justeru, penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan berdekatan sungai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta segera berpindah sekiranya paras air semakin naik.
Sementara itu, jumlah penduduk ditempatkan di PPS Sekolah Agama Ihsaniah Jangkang di Kulim kekal 78 orang.