fb fb fb fb fb

Banjir: Jumlah penduduk terjejas di Selangor, Perak terus menurun pagi ini

PPS Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir di Selangor

KUALA LUMPUR, 11 November- Jumlah penduduk terjejas banjir di Selangor yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan penurunan pagi ini kepada 331 orang daripada 88 keluarga berbanding 435 orang daripada 115 keluarga, tengah malam tadi.

Laman sesawang Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan lapan PPS beroperasi di negeri itu membabitkan lima di daerah Sepang, manakala tiga di Kuala Langat.

Sementara di Perak, jumlah penduduk terjejas pagi ini kekal 457 orang daripada 136 keluarga ditempatkan di lima PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Di Hilir Perak seramai 303 orang daripada 93 keluarga di tiga PPS, manakala 154 orang daripada 43 keluarga dari daerah Kerian berlindung di dua PPS. 

Laman sesawang itu turut mencatatkan 87 penduduk daripada 17 keluarga di Cameron Highlands, Pahang masih berlindung di sebuah PPS akibat kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Keseluruhannya seramai 875 orang daripada 241 keluarga berlindung di 14 PPS.

SITI AISHAH BINTI MD ISA