KUANTAN, 26 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Pahang berkurang kepada 503 orang, setakat pukul 4.00 petang, berbanding 707 orang pada pukul 12.00 tengah hari.
Kesemua penduduk terjejas ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Raub dan Lipis.
Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS ditutup hari ini dan terbaru, PPS Masjid Bertang, Lipis yang sebelum ini menempatkan 37 orang penduduk terjejas, terdiri daripada 6 keluarga.
Keseluruhannya, kini 12 PPS yang dibuka iaitu 9 di Raub yang menempatkan 463 penduduk dan tiga PPS di Lipis menempatkan 71 penduduk.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa yang dihubungi berkata, meskipun keadaan banjir terutamanya di daerah Raub menunjukkan keadaan semakin reda, namun beliau mengingatkan penduduk untuk sentiasa berada dalam keadaan waspada.
Ia bagi memastikan penduduk dapat berpindah segera sekiranya banjir berulang.