KUALA LUMPUR, 2 Januari - Bilangan penduduk terjejas banjir di Pahang dan Kelantan kekal kepada 48 orang di tiga PPS setakat 8.00 malam ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Kelantan, seramai 26 penduduk terjejas banjir masih berlindung di sebuah PPS di Pasir Mas.
Di Pahang kekal menempatkan 22 orang masing-masing satu di PPS di Maran dan Temerloh.
Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati, Sungai Pulai di Johor Bahru, Johor berada pada paras bahaya dengan merekodkan 5.27 meter (m) dengan trend meningkat, manakala Sungai Arau di Arau, Perlis merekodkan 23.35m dengan trend menurun.
Laporan itu juga menyatakan terdapat 19 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak; Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok di Kubang Pasu, Kedah; dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.
Dalam pada itu, situasi banjir di Johor pulih sepenuhnya.
23 penduduk terjejas banjir yang berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.