fb fb fb fb fb

Banjir Johor: Jumlah penduduk terjejas berkurang kepada 6,585 orang

Foto APM Kluang

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor mencatatkan penurunan daripada 6,992 kepada 6,585 orang setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, seramai 1,988 keluarga masih berlindung di 44 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.

Johor Bahru kekal sebagai daerah paling tinggi terjejas dengan 3,435 penduduk daripada 1,105 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS.

Selain itu, 15 PPS masih beroperasi di Pontian, menempatkan 1,419 orang, diikuti 12 PPS di Kluang dengan 1,300 penduduk, dua PPS di Batu Pahat dengan 341 penduduk, dan dua PPS di Kota Tinggi dengan 90 penduduk.

Ketika ini, paras air Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang berada pada tahap bahaya dengan bacaan 14.83 meter, manakala lima sungai lain, termasuk Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat, berada pada paras amaran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN