Banjir Manjoi: Satu PPS dibuka, tempatkan 26 penduduk terjejas

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta, Kapten Seghar Chaliyah ketika ditemui pemberita di Manjoi, Ipoh/ RTM

IPOH, 17 Februari – Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein di Manjoi, di sini menempatkan 26 penduduk terjejas daripada sepuluh keluarga yang sebelum ini berlindung di Masjid Al-Ghufron.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPS dibuka di Dewan Kampung Tengku Hussein untuk menempatkan penduduk terjejas.
  • Hujan berterusan, agensi termasuk APM kekal dalam keadaan siap siaga memantau risiko banjir.
  • Sembilan keluarga dari Kampung Manjoi dan satu keluarga dari Kampung Tengku Hussein terkesan.
  • Korban menggambarkan kenaikan air pantas; APM pantau keadaan walaupun banjir telah surut.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta, Kapten Seghar Chaliyah berkata ketika ini hujan masih lagi berterusan dan penduduk mengambil langkah waspada untuk tidak pulang kerumah.

Menurut beliau, pihaknya juga telah mengenal pasti hotspot banjir dan bersiap sedia jika kawasan berkenaan dinaiki air.

“Apa yang kita dapati sekarang ini hujan masih lagi berterusan, semua agensi termasuk APM, kami dalam keadaan siap siaga bersama agensi lain disebabkan kita risau ada gelombang banjir seterusnya,” jelas beliau ketika ditemui di sini, hari ini.

Daripada sepuluh keluarga, sembilan daripadanya melibatkan Kampung Manjoi dengan 22 penduduk terjejas banjir manakala satu keluarga dengan empat penduduk terjejas dari Kampung Tengku Hussein.

Sementara itu, penduduk terjejas banjir menceritakan detik cemas yang berlaku.

“Masa air naik itu memang sangat cepat, sebab ia masuk dari dua arah, daripada ruang tamu dan dapur, kami memang panik, dalam masa 15 minit air dah naik paras betis dah,” jelas Nurul Fadlina Basarudin

“Semalam betul-betul tak sampai berapa saat air naik memang cepat, lampu pun tutup semua, had ini paras dada, JKM dan RELA bawa bot nak ambil, kami dah duduk atas atap dah,” kata Wan Mahyuddin Wan Amran.

APM Daerah Kinta memaklumkan banjir sudah pun surut, bagaimanapun pihaknya terus memantau keadaan semasa dan akan mengambil tindakan lanjut sekiranya paras air kembali meningkat.