fb fb fb fb fb

Banjir: FELDA peruntuk RM5 juta untuk warga peneroka

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) melakukan 'flag off' sukarelawan pada Pelancaran Felda Siap Siaga 2023 Peringkat Kebangsaan di Felda Seberang Tayor / Foto Bernama

KEMAMAN, 11 November - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi membantu warga peneroka yang terkesan bencana terutama banjir.

Peruntukan turut meliputi cadangan menaik taraf 80 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan kira-kira 27,000 penduduk terjejas di 26 kawasan rancangan FELDA.

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peruntukan antara lain akan digunakan untuk kerja-kerja baik pulih sistem paip air, pemasangan tangki air tambahan, penyediaan set generator dan pembersihan am.

"Perlu ada koordinasi dan koordinasi ini memerlukan satu prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dibina.

"Sebelum ini kita hanya menumpang kepada apa yang dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi kerajaan dan sebagainya tetapi saya rasakan disamping mereka, FELDA mesti ada kekuatan sendiri dalam menggerakkan pasukan, membantu dalam menguruskan bencana dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program FELDA Siap Siaga 2023 di FELDA Seberang Tayor, di sini.

Tambah Ahmad Shabery, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan, 11 bilik Gerakan banjir di semua wilayah FELDA turut ditubuhkan.

Katanya, FELDA turut menyediakan 2,000 kit kesiapsiagaan banjir bagi kegunaan sebelum, semasa dan selepas banjir, yang mengandungi antaranya beg kalis air 10 liter, lampu suluh pelbagai guna, selipar getah dan barangan asas kebersihan diri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN