SETIU, 31 Disember- Pasukan sukarelawan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diatur gerak membantu operasi pembersihan 53 buah sekolah yang terkesan banjir pada gelombang ketiga di Terengganu.
Usaha berkenaan dilaksana bagi memastikan sekolah terlibat dapat bersiap sedia sebelum beroperasi semula mulai 2 Januari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Professionalisme) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Shafruddin Ali Hussin berkata operasi pembersihan itu akan turut melibatkan 79 buah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berharap agar operasi pembersihan sekolah itu dapat diselesaikan sebelum pembukaan semula sesi persekolahan pada Selasa ini.
Selain pasukan sukarelawan KPM, turut membantu Jabatan Pendidikan negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Seramai 2,083 orang murid yang dikesan terlibat dengan banjir. Namun, insya-Allah mereka tidak mempunyai masalah untuk hadir ke sekolah, mengikut jadual dan masa yang kita minta.
Selain itu, murid-murid ini tidak diwajibkan untuk memakai seragam sekolah. Kebenaran ini kita benarkan kepada mereka yang terlibat banjir. Yang pasti, mereka hadir ke sekolah," kata Shafruddin kepada pemberita ketika operasi pembersihan SK Sungai Las, di sini.
Sejumlah RM340,000 kerugian direkodkan di Terengganu akibat banjir, membabitkan kerosakan perabot.
Hanya enam keluarga yang masih berlindung di PPS Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah, Kuala Nerus, setakat pukul 1.00 tengah hari tadi.