fb fb fb fb fb

Banjir di Sarawak meningkat 5,385 orang, dijangka hujan berterusan

Daerah Bintulu dilaporkan antara yang terburuk dengan seramai 1,481 orang dipindahkan ke enam PPS/Foto Bomba Udara

KUALA LUMPUR, 30 Januari - Penduduk terjejas banjir di Sarawak meningkat dengan mendadak kepada 5,385 orang daripada 1,505 keluarga setakat 8.00 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, kesemua penduduk terjejas kini ditempatkan di 47 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut laporan itu, jumlah penduduk terjejas banjir di negeri ini menunjukkan peningkatan ketara, hampir sekali ganda berbanding 2,981 orang daripada 862 keluarga yang direkodkan pada hari sebelumnya.

Daerah Bintulu mencatat jumlah penduduk terjejas tertinggi, dengan seramai 1,481 orang daripada 396 keluarga kini ditempatkan di enam PPS.

Sementara itu, Serian turut mencatat angka tinggi, dengan 1,442 orang daripada 446 keluarga berlindung di 15 PPS yang telah dibuka.

Selain itu, jumlah kawasan terjejas akibat banjir juga meningkat kepada 14 daerah, berbanding hanya 12 daerah yang direkodkan sehingga pukul 8 malam semalam.

Jumlah PPS yang diaktifkan turut bertambah daripada 36 kepada 47 bagi menampung peningkatan jumlah penduduk yang dipindahkan.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan di seluruh negeri ini hari ini.

Lapan bahagian iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sarikel (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis) kini dalam kategori merah iaitu amaran bahaya dengan jangkaan hujan sangat lebat berterusan.

Enam bahagian pula berada dalam amaran kategori jingga apabila diramal hujan lebat berterusan dijangka berlaku iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru, Miri dan Marudi).

GRACE AISYAH KEDAYAN